Pengiktirafan

 

MUHAMMAD FIRDAOUS (dua dari kiri) gigih mencurahkan ilmu kepada para pelajarnya.

DARI jauh raut wajahnya tampak tenang. Ukiran senyuman mudah dilemparkan lelaki bertubuh sederhana besar itu.

Di hadapannya, sekumpulan kaum hawa khusyuk meneliti setiap butir perkataan yang keluar dari mulutnya. Lelaki berserban itu sedang menyampaikan kuliah duha khas untuk kaum ibu.

Sekali dipandang, mungkin ada yang menganggap Muhammad Firdaous Abdul Rashif hanya seorang mahasiswa atau eksekutif muda yang rancak bercerita untuk memikat hati pelanggan.

Hakikatnya, insan berusia 32 tahun itu ialah seorang ustaz muda dan pengasas merangkap Pengerusi Pusat Bimbingan Al-Islah di Bertam Malim, Melaka.

“Saya memang sukakan al-Quran. Niat saya membuka pusat ini untuk membantu mereka yang memerlukan seperti kanak-kanak miskin atau yatim piatu serta mereka yang menyintai al-Quran,” katanya sebagai pembuka bicara.

Berasal dari Bukit Panjang, Singapura, anak sulung daripada empat beradik itu berpeluang mendalami pengajian di Maahad Tahfiz Ummul Qura di Sabak Bernam, Selangor.

Tahun 2005, dia sudah memulakan kerjaya di Majlis Agama Islam Singapura.

Sepanjang tempoh itu, dia mengakui, hatinya sentiasa ingin melakukan sesuatu yang mendatangkan kebaikan terutama kepada golongan yang memerlukan seperti orang susah dan anak-anak yatim.

“Perasaan itulah membuatkan saya ingin mencari sesuatu yang boleh saya kongsi bersama orang lain,” katanya.

Pusat Bimbangan Al-Islah

Muhammad Firdaous memberanikan diri dengan mengambil langkah pertama membuka pusat bimbingan di sebuah rumah kedai di Taman Rinting, Masai di Johor pada tahun 2009. Rumah kedai yang diwakafkan seorang lelaki itu menjadi lokasinya menawarkan pengajian tahfiz al-Quran secara percuma.

Anak muridnya ketika itu terdiri daripada empat beradik anak yatim yang berusia antara sembilan hingga 11 tahun dari Kluang, Johor. Seiring dengan peredaran masa, permohonan untuk memasuki pusat tahfiz itu kian bertambah. Antaranya, anak-anak yatim dan mereka daripada keluarga yang ibu bapanya bercerai.

“Disebabkan bilangan yang ingin mempelajari al-Quran semakin menggalakkan sehingga mencecah 50 orang, saya mula berfikir untuk mencari sekeping tanah yang lebih besar untuk membolehkan lebih ramai mengikuti pengajian tahfiz.

“Seorang rakan lelaki saya berusia sekitar 50-an kemudiannya menawarkan tanah seluas 1.2 hektar untuk dijadikan pusat tahfiz. Inilah tanah dimaksudkannya,” katanya lagi.

Ujar bapa tiga orang anak itu, mengikut perjanjian yang dimeterai dengan rakannya, pusat tahfiz tersebut dibenarkan beroperasi selama mana yang dikehendaki.

Beberapa kemudahan mula didirikan Muhammad Firdaous. Bermula dengan bangunan, ia disusuli dengan fasiliti dewan, asrama, surau dan pejabat untuk keselesaan pelajar serta kakitangan pusat tahfiz itu.

Selepas dua tahun beroperasi di Melaka, pusat itu menjadi medan ilmu kepada 80 orang pelajar iaitu masing-masing 40 lelaki dan 40 perempuan. Program hafazan pusat itu dibantu oleh 12 orang tenaga pelajar yang terdiri daripada uztaz dan ustazah.

Muhammad Firdaous memberitahu, daripada 80 pelajar itu, tiga daripadanya telah berjaya menjadi hafiz al-Quran dan berupaya mengajar al-Quran. Selain menyampaikan pengajian percuma, pusat tahfiz itu juga menganjurkan beberapa program berkaitan keagamaan termasuk kem motivasi khasnya pada musim cuti sekolah.

Program tersebut bukan sekadar untuk kanak-kanak malah orang dewasa dan golongan mualaf boleh menyertai pengajian al-Quran di pusat tahfiz itu.

Menyentuh mengenai yuran kelas pengajian al-Quran, hanya RM45 sebulan untuk golongan yang berkemampuan manakala golongan asnaf dan anak yatim pula percuma.

Pelajar asnaf, Mohd. Hafiz Jafri, 14, memberitahu, dia berasa seronok mendalami ilmu di pusat tahfiz tersebut.

“Saya masuk ke pusat tahfiz Al-Islah ini ketika berusia 10 tahun. Masa itu saya mengikuti kelas di Taman Rinting di Johor. Alhamdulillah, kini saya mampu menghafal 30 juzuk dan kesemua juzuk itu saya sempurnakan pada tahun lepas,” katanya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Muhammad Asyiq Azman Hussin, 14, pula berkata, dia sudah berjaya menghafal 10 juzuk dengan sempurna dan dalam proses hafazan baki 20 juzuk.

“Suasana pembelajaran yang menyeronokkan membuatkan saya begitu tertarik untuk mengikuti program di pusat tahfiz ini,” katanya yang juga merupakan anak yatim.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm#ixzz3uMaUIyEZ
Hakcipta terpelihara